Rabu, 31 Oktober 2007

T3kNolog1

      Perubahan era globalisasi menerusi ledakan maklumat dan kemajuan teknologi multimedia telah menukar wajah dunia pendidikan daripada ‘sage on stage’ (pendita atas pentas) kepada ‘guide by the side (pembimbing di sisi). Pencetusan era globalisasi ini juga telah menghasilkan satu pencetus idea baru bagi reformasi pendidikan dengan menggunakan Teknologi Maklumat dan Komunikasi atau Information Communication Technology (ICT) sebagai medium terkini dalam system pendidikan di negara kita. (Nor Azan Hj.Mat Zin. 2000). Kemajuan ICT yang merangkumi bidang teknologi, satelit, telekomunikasi, teknologi multimedia dan teknologi maklumat membolehkan seseorang menyampaikan, mengumpul, menyalur, menyebar, mengurus, memproses, menyimpan atau menggabungkan pelbagai jenis maklumat dengan mudah dan cepat (Nik Aziz, 1997). Lanjutan dari perkembangan teknologi ini, komunikasi antara perseorangan yang bersifat interaktif dapat dibuat dengan cepat dan mudah.




      Masyarakat yang terdiri dari guru, pelajar dan semuanya dapat berkumpul, berkomunikasi dan berinteraksi antara satu sama lain dengan cepat dan mudah dalam ruang siber yang bersifat global dan dinamik. E-mel, dunia web, teknologi digital, internet, CD-ROM dan bahan multimedia interaktif yang lain telah menjadi alat atau kemudahan baru dalam system pendidikan yang bersifat bestari. Masyarakat yang bermaklumat ini dapat menyediakan generasi yang berketrampilan, kreatif dan inovatif (Mohd Azul, 2000).
Pembaharuan dalam teknologi pendidikan yang menekankan ICT yang menekankan konsep komunikasi terkini boleh menjadikan pembelajaran menjadi lebih seronok, mudah dan global. Pengajaran juga dapat diperluaskan lagi melalui alat-alat ICT seperti bahan multimedia (CD-ROM), rangkaian komputer (internet, intranet, perpustakaan maya) telekomunikasi (voice-mail, videoconferencing, virtual classroom) (Laudon, Kenneth.C. 2002). Pendekatan dan kaedah menggunakan alat Bantu mengajar disesuaikan mengikut kecanggihan teknologi komunikasi dan maklumat ini (Zamri Mahamod & Mohamed Amin Embi, 2001).



      Teknologi pendidikan pula adalah satu pendekatan yang dipadukan secara harmonis kepada masalah yang dihadapi dalam proses pengajaran dan pembelajaran. (Naim, Ab.Rahman dan Mat Nor, 1993). Ia melibatkan penggunaan kemahiran dan teknik moden yang meliputi kemudahan belajar, perkaedahan dan penyesuaian bahan dengan persekitaran agar ia dapat menimbulkan ransangan, kefahaman dan membolehkan pelajar mendapat ilmu pengetahuan. (Mohd Yusuf & Noor Razi, 2001) .
Selain dari itu, penggunaan teknologi pendidikan ini dapat meningkatkan motivasi pelajar, membantu pelajar mengaitkan dengan kehidupan, alat sokongan, memartabatkan profesion serta mengurangkan kos (Jamaludin Badusah et.al, 2000). Ini juga menjadikan pendidikan lebih produktif, bersemangat, menghampiri keadaan sebenar serta menjadikan pengajaran lebih bersifat individual. Pengertian Teknologi Pendidikan sebagai media merujuk kepada perkaedahan atau perantaraan berkomunikasi untuk menggunakan teknologi terkini. Fenomena ledakan teknologi maklumat dalam merealisasikan Malaysia sebagai pusat akademik bertaraf dunia haruslah dilihat secara positif. Sememangnya tidak dapat dinafikan lagi bahawa perkembangan ICT telah terlalu banyak memudahkan pelbagai golongan dari golongan pelajar hinggalah golongan professional mengakses maklumat dengan cepat dan efektif. Namun kekurangan atau jatidiri yang lemah menjadikan terdapat juga segolongan masyarakat yang tergelincir dari kancah jenayah untuk kepentingan sendiri seperti penghasilan bahan perisian cetak rompak dan remaja yang terjebak dalam peningkatan gejala social yang kian meningkat.


      Perubahan dan perkembangan ini tidak perlu kita tolak kerana menurut Zulkiple (2001) perubahan dalam kehidupan manusia sama ada bersifat evolusi atau revolusi turut memberi pelbagai pembaharuan dalam bidang teknologi. Hubungan manusia dengan Allah tetap vertical sepertimana yang ditentukan oleh ajaran agama. Sekiranya manusia memutuskan hubungan ini disebabkan oleh kemajuan, dia dianggap mundur dan ketinggalan.. Sidi Gazalba (1983:122); dalam Zulkifli (2001) juga menyatakan perubahan boleh dilakukan pada dunia tetapi bukan ad-din. Oleh itu, perubahan dalam Islam sememangnya boleh dilakukan menerusi ‘teori migrasi’(hijrah) yang telah mencetuskan satu tamadun baru dalam Islam.



Tidak ada komentar: